Sebuah cerita kasih sayang antara dua insan yang belum pernah dikisahkan sebelum ini. Aku masih ingat kisah mereka berdua, bagai hanya semalam aku tontoni filemnya. Tapi bukan cerekarama yang aku maksudkan. Realiti kehidupan. Walau aku sudah lama tak melihat mereka, dan berada jauh dari kehadiran mereka, aku dapat merasakan kehangatan cinta mereka.
Pernah ada orang bertanya, "Lutfi, bagaimana kau mengenal erti cinta, sedangkan kau belum pernah menyelami lamunannya?" Soalan yang adil ditanya, kerana memang aku tidak pernah berpunya dan mempunyai, semenjak dua puluh tahun lebihnya. Jawapan aku mudah, "Aku mengenal erti cinta dari kisah dua insan ini. Kisah ini aku turut kongsi sejak dari kecil lagi. Aku dididik dan diasuh dengan cinta ini, dan aku melihat, mendengar dan mengalaminya. Cinta ini bermula di rumah kedua ibubapaku. Ummi dan Abah, merekalah yang mengajarku erti cinta."
Aku terjaga dari tidur, mahu membuang air kecil. Aku pun keluar dari kamar, dan sebelum sempat mencapai tombol pintu bilik air, aku perasan lampu di ruang tamu masih terpasang. Siapa agaknya yang masih terjaga? Besok sekolah, adik-beradikku sudah dibawah selimut semuanya. Menjenguk, aku melihat Ummi tertidur di atas sofa, jam menunjukkan hampir pukul 1 pagi. Ummi memang degil. Selalu tak mau mendengar kata. Aku mengeluh, tanpa menghiraukan perangai Ummi yang tak berubah, aku terus masuk ke bilik air.
Ummi memang macam tu, selagi Abah tak pulang dari ofis, selagi tu Ummi takkan masuk bilik. Hari-hari Ummi akan tunggu kepulangan Abah, yang bersusah payah bekerja mencari pendapatan untuk menampung kami sekeluarga. "Ana," kata Abah diganggang telefon bimbitnya. Itu nama panggilan kesukaan Ummi. "I balik lambat lagi malam ni. You masuk lah tidur dulu." "You balik pukul berapa?" "Tak tau lagi lah sayang." "Okay." Begitulah perbualan mereka hampir hari-hari. Dan tetap begitulah perangai Ummi hampir hari-hari.
Sehabis aku membuang air kecil, tiba-tiba aku terdengar bunyi kereta memasuki halaman rumah. Abah dah balik. Aku bergegas mencuci tangan dan mahu pulang ke bilik tidur, tapi hatiku tiba-tiba menahan diriku. Tunggu dulu. Dari dalam bilik air, aku mendengar bunyi enjin kereta terpadam, kemudian pintu rumah dibuka dan ditutup semula. Aku diam, tak mahu Abah perasan aku tak tidur. Aku menunggu dengan sabar, memasang telinga, cuba meneka apa yang sedang berlaku disebalik pintu bilik air yang tertutup.
Senyap. 1 minit. 2 minit. 5 minit.
Hampir 10 minit berlalu tanpa mendengar sebarang bunyi atau kata-kata. Apa yang sedang berlaku? Aku tak tau. Aku tak pernah pun ambil tau sebelum ni. Hairan. Kenapa senyap? Aku tak sabar, dengan perlahan-lahan aku membuka sedikit pintu bilik air dan mengintai dari dalam. Dengan berhati-hati agar tak dilihat, aku ternampak Abah dengan pakaian kemejanya sedang berjalan dalam gelap, lampu ruang tamu telah dipadamkannya. Dan yang mengejutkan aku ialah Abah sedang memangku Ummi yang sedang lena menaiki tangga kearah bilik tidur. Abah? Bisik hatiku. Aku merapatkan kembali pintu dengan perlahan. Aku tak pernah tau Abah yang sudah berusia mampu berbuat begitu. Aku tersandar di dinding bilik air, mendongak, tersenyum lebar. Bukan cerekarama, tapi realiti kehidupan.
Kisah ini satu dari pelbagai yang aku tau. Ummi kadang-kadang pada hujung minggu, selepas kami sekeluarga solat Subuh berjemaah, akan meluncur ke dapur. Abah biasanya akan tidur semula setelah selesai membaca ma'thurat. Aku pula melihat Ummi bertungkus-lumus membuatkan sarapan pagi. Katanya, dia mahu menghidangkan Abah "breakfast in bed". Bolehkah kamu membayangkan wajah Abah saat dia sedar ada sarapan terhidang di atas katil? "Surprise!" ujar Ummi bila Abah terjaga. Bukan cerekarama, tapi realiti kehidupan.
Ummi dan Abah tak segan menunjukkan kasih sayang mereka di hadapan anak-anak mereka. Abah pandai mengorat Ummi, tapi Ummi cepat segan di depan kami. Selalu ditepis ayat-ayat manis Abah. Kami adik-beradik sering tertawa. Kadang kala juga, mereka bergaduh. Bertengkar sampai tak bertegur sapa. Perkara kecil sahaja, tapi sebab Ummi wanita yang sensitif, dan terkadang Abah terlanjur dalam bergurau senda. Pintu bilik tidur dikunci, dan dari luar kami mendengar pertengkaran mereka. Ummi malu bergaduh depan kami, tapi biasanya Ummilah yang pertama keluar bilik, menangis atas katil aku.
Seringkali Abah menipu, kerana mau mengambil hati Ummi. Ada sesuatu yang Abah sangat mahukan. Berminggu-minggu Abah menyebutnya, tapi bila Abah dapat tahu Ummi pun mahukan benda yang sama, tiba-tiba Abah kata dia tak mahu. Ummi tak tau, tapi kami beradik tau pengorbanan Abah. Bukan cerekarama, tapi realiti kehidupan.
Inilah asuhan cinta yang aku kenali selama ini. Aku dibesarkan dalam persekitaran begini. Ada pahit dan manis, asam garam kehidupan itu biasa. Kalaulah aku ditanya bagaimana aku mahu membina suasana rumahtanggaku kelak, jawapanku mudah, seperti Ummi dan Abah.
Tinta Cinta
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
terharu k.yong baca..k.yong mengenal cinta n kasih syg dr mak n abah k.yong jgk..sekadar cinta monyet tu xberguna langsung..i-ALLAH,hr makin berubah,lutfi..persoalannya,mampukah kita menjadi seperti n sebaik mereka dlm membentuk keluarga nnti?huhuhu..
ReplyDelete